//Panduan Berdamai
Biasanya, setelah suami isteri bergaduh dan bertengkar, mereka mahu berdamai. Kalau boleh, mereka mahu supaya pergaduhan itu adalah yang terakhir. Jadi mereka inginkan perdamaian yang kekal. Tetapi biasanya, apa yang berlaku ialah sebaliknya. Perdamaian itu bersifat sementara. Esok lusa mereka bergaduh lagi.
Antara faktor yang menyebabkan suami isteri bergaduh dari masa ke masa ialah kerana mereka tidak menggunakan teknik-teknik yang betul untuk berdamai. Pakar-pakar komunikasi interpersonal memberi panduan bagaimana cara untuk mencapai perdamaian yang tahan lama.
1. Jangan merajuk
Sejak masik kanak-kanak lagi, perempuan sudah pandai menggunakan strategi merajuk untuk mendapat apa yang mereka hendak. Perbuatan merajuk ialah sejenis tingkah-laku manipulatif, atau putar-belit. Ramai isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan untuk memaksa suami mengalah. Apabila bergaduh, jangan suka merajuk.
Merajuk tidak berguna sama sekali untuk tujuan menyelesaikan masalah. Malah ia boleh memburukkan lagi masalah yang ada. Walaupun dengan cara merajuk isteri boleh mendorong suami mengalah, namun strategi merajuk tidak membawa kedamaian yang kekal. Malah perbuatan merajuk sangat membahayakan kerana ia akan menyusahkan usaha untuk berdamai semula. Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah bila mereka hendak berdamai. Ini disebabkan si suami tahu bahawa dia sedang dihukum oleh isterinya dengan cara merajuk. Orang yang menganggap dirinya dihukum tidak mempunyai dorongan untuk memulakan proses berdamai.
Manakala orang yang menghukum tidak mahu berdamai selagi dia belum menang. Isteri-isteri berani merajuk kerana dia yakin suaminya akan mengalah dan memenuhi kehendaknya. Dengan itu, maka menanglah si isteri. Tetapi itu adalah keyakinannya sahaja. Banyak perbuatan isteri adalah berdasarkan keyakinan palsu. Lain kali, bila dia merajuk lagi, helah itu mungkin memakan dirinya sendiri kerana tidak ada lelaki yang suka dihukum oleh isterinya sendiri.
2. Jangan menghukum
Pergaduhan, pertengkaran dan koflik antara suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua belah pihak. Dalam keadaan begitu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah pihak yang satu lagi.
Lelaki dan wanita mempunyai cara-cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki cenderung untuk "menarik diri" di mana mereka tidak mahu lagi bercakap-cakap dengan isteri, melainkan terpaksa. Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami. Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah. Hukuman juga tidak menolong proses berdamai. Malah hukuman akan hanya mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, sama ada ia kecil ataupun besar, hukuman hanya menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar masih ada niat mahu berdamai, jangan menghukum.
3. Jangan berdusta
Kalau pasangan kita menunjukkan sikap mahu berdamai, dan kita sendiri pun mahu berdamai juga, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura sudah benci. Perbuatan seperti itu ada risikonya. Dia mungkin menyangka kita betul-betul tak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong bersedia untuk melupakan usaha berdamai.
4. Jangan mencari salah
Kalau mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Di sini, mencari salah termasuklah perbuatan mencari kelemahan-kelemahan dan kekurangan-kekurangan orang itu, dan menuduh orang itu salah atau silap. Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati orang itu. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian-kajian mendapati, wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan.
5. Berhentikan bahasa negatif
Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah: bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Kalau mahu berdamai, berhentilah daripada menggunakan bahasa negatif.
"Ini semua kerana sikap awak yang tak betul tu." (tuduhan)
"Kenapa abang tak mahu dengar nasihat saya?" (tuduhan)
"Ini salah awak juga." (tuduhan)
"Kalau awak baik dan sayang kepada anak isteri, kita takkan
selalu bergaduh." (tuduhan)
"Abang tak guna langsung." (celaan)
"Awak tak senonoh!" (celaan)
"Abang ni, sekolah saja tinggi, tapi otak bodoh juga." (celaan)
"Awak tak sedar, diri awak tu siapa." (celaan)
Untuk tujuan berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif. Jenis-jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan cinta suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan.
~~to be continued...
|