Monday, January 12, 2004

 
...sambungan //Panduan Berdamai

6. Bercakaplah tentang hari ini dan esok

Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan tentang hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang, melainkan untuk tidak mengulang lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara-perkara yang menyebabkan konflik itu. Jangan sentuh apa yang sudah terjadi, sebaliknya bercakaplah tentang apa yang hendak dibuat. Buangkan perkataan "dahulu" dan "semalam" daripada kata-kata kita. Kedua-dua perkataan itu sangat berbahaya. Tidak ada siapa pun yang boleh menyelesaikan "dahulu" dan "semalam".

7. Senyum semula

Di dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula.

8. Mulakan berdamai

Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama kerana masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun masing-masing mungkin mahu berdamai, tetapi masing-masing takut risiko jika dia yang memulakannya. Mana tahu kalau orang itu tidak mahu berdamai? Kalau benar kita mahukan perdamaian, ambil langkah pertama untuk berdamai. Jangan tunggu sampai orang itu yang mesti memulakannya. Tunjukkan bukti bahawa kita mahu berdamai. Gunakan kata-kata ataupun perbuatan. Andai kata orang itu menolak usaha kita, kerana dia memang tidak mahu berdamai, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk berdamai, jadi kita tidak berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha.

9. Kenal pasti punca masalah

Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama akan berulang-ulang kali tercetus lagi. Sebagai contoh, perbuatan isteri yang suka mengugut suami mungkin menjadi punca konflik. Selagi tabiat buruk itu tidak diatasi, selagi itu si isteri akan mengulang ugutan-ugutannya, dan konflik demi konflik akan tercetus. Kenal pasti dengan tepat punca masalah itu. Tujuannya bukanlah untuk mengungkit-ungkit perkara yang sudah berlaku, tetapi untuk mengelakkannya daripada berulang lagi pada masa depan. Apabila mengenal pasti punca masalah, jangan gunakan perkataan-perkataan yang berfungsi sebagi label kepada perbuatan orang itu. Gunakan perkataan-perkataan yang menerangkan apa yang sebenarnya dia telah lakukan sehingga tercetusnya konflik.

a. "Awak tak bertanggungjawab." (x)

"Saya mahu supaya saya diberi wang belanja dapur yang cukup

tiap-tiap bulan." (/)

b. "Awak degil." (x)

"Saya mahu supaya cakap saya didengar dulu sebelum awak

bantah." (/)

c. "Awak sudah bosan dengan saya." (x)

"Saya mahu supaya saya diberikan sedikit perhatian, jadi saya

tak berasa diri saya diabaikan." (x)

10. Kenal pasti perubahan

Terangkan dengan bahasa yang tepat apakah perubahan yang kita mahukan. Oleh kerana konflik biasanya berpunca daripada tingkah-laku yang tidak disetujui, maka cara berdamai ialah dengan mengubah tingkah-laku itu.

Ramai orang, apabila mereka mahu supaya pasangannya mengubah tingkah-lakunya, mereka bercakap secara am dan kabur. Mereka menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini menyebabkan pasangannya tidak faham dengan jelas tingkah-laku yang mana satu yang mesti diubahnya.

Sebagai contoh, perkataan biadab di dalam ayat "Awak biadab." mempunyai makna yang kabur, kerana perkataan itu tidak memberitahu dengan tepat perbuatannya yang mana satu yang dimaksudkan sebagai biadab. Jadi, sukarlah bagi si isteri untuk mengenal pasti perbuatannya itu dan bagaimana dia hendak mengubah tingkah-lakunya kepada yang "tidak biadab".

a. "Jangan biadab pada saya." (x)

"Jangan menengking saya." (/)

b. "Jangan suka tunjuk gaya." (x)

"Tak payahlah awak belajar main golf." (/)

c. "Jangan pemalas." (x)

"Jangan selalu tidur siang." (/)

d. "Layan saya dengan betul." (x)

"Jangan paksa saya makan nasi bungkus selalu." (/)

e. "Jangan syirik." (x)

"Jangan bomohkan saya." (/)

Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri tidak perlu dipelajari. Semua orang memiliki kebolehan itu sebagaimana semua manusia memiliki kebolehan berlari. Tetapi kebolehan hidup dalam perasaan seronok, gembira dan bahagia dengan pasangan mesti dipelajari sebagaimana manusia perlu belajar cara berlari menggunakan teknik-teknik yang betul.

**semoga mendapat manfaat bersama....

• • • • •